Bahasa Melayu | English Rabu, 19/06/2013

Keratan Akhbar

« Kembali

Ikhtiar tangani kemiskinan

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2011/01/04

AIM sediakan bantuan kredit tingkat taraf ekonomi golongan susah

'YANG bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang'. Pepatah Melayu ini jelas menggambarkan sesuatu kejayaan tidak mungkin datang dengan sendiri tanpa sebarang usaha gigih, hidup akan terus pada takuk lama jika tiada kesungguhan mengubahnya.

Jika asyik mengeluh dan menyesali nasib diri dibelenggu kemiskinan atau kedaifan, tidak pernah cukup duit, sedangkan perut anak perlu diisi, ia tidak akan mengubah segala-galanya.

Umpama kisah wanita cekal ini, Jariah Nawi, dari Kuala Terengganu. Jika dulu pendapatan isi keluarga cuma RM233 sebulan, kini, beliau sudah boleh menghela nafas lega apabila pendapatannya berlipat kali ganda sehingga mencecah RM30,000 sebulan selepas menceburi perniagaan menjual tudung secara borong.

Secara purata jualan tudungnya ialah RM5,000 pada hari biasa dan jumlah itu meningkat kepada RM10,000 pada musim perayaan. Semuanya bermula selepas membuka perniagaan kecil-kecilan menjual tudung dengan bantuan, bimbingan dan mendapat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai modal pusingan. Selepas 10 kali pinjaman serta berkat kegigihannya, beliau kini bergelar usahawan berjaya.

Kejayaan Jariah berjaya keluar daripada paras kemiskinan itu adalah antara cebisan kisah 250,000 peserta atau dikenali ‘Sahabat AIM’ yang mendapat manfaat menerusi bantuan pinjaman AIM bagi memastikan matlamat membasmi kemiskinan masyarakat di negara ini dapat direalisasikan.

Sejak 23 tahun penubuhan AIM, kewujudan agensi terbabit begitu relevan memberi pembiayaan kredit mikro kepada isi rumah miskin di seluruh negara untuk menjalankan kegiatan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan, baik di bandar mahu pun luar bandar.
Pengarah Urusan AIM, Zabidah Ismail, berkata sejak penubuhan AIM pada 1987, pihaknya sudah mengeluarkan RM4.3 bilion pinjaman kepada lebih 250,000 suri rumah untuk menjalankan perniagaan yang akhirnya menjana pendapatan berlipat kali.

Katanya, AIM menyediakan pinjaman mikro antara RM2,000 hingga RM50,000 untuk membantu wanita yang miskin, miskin tegar dan mudah miskin untuk memulakan aktiviti ekonomi seperti peruncitan, perkhidmatan (spa, salun, mengurut dan mengandam), pertanian (menanam sayur dan buah-buahan) dan perikanan.

Mereka yang layak membuat pinjaman ialah kalangan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM700 hingga RM1,500. Kebanyakan wanita yang menyertai program itu memulakan perniagaan di rumah sebelum berjaya ke tahap lebih tinggi.

Apa yang menarik, pakej bantuan AIM lengkap dengan latihan kemahiran bagi meningkatkan pengetahuan, pendidikan dan keyakinan diri dalam mengendali serta menguruskan perniagaan.

“Kita akan ajar mereka kemahiran selok-belok perniagaan mengikut bidang masing-masing, selain aktiviti lain, termasuk program kerohanian, keagamaan dan sukan,” katanya.

Pada masa sama, setiap peminjam juga boleh membuat simpanan wajib iaitu hanya RM1 seminggu dengan matlamat mendidik peserta mengamalkan sifat menabung dan mendedahkan mereka konsep perbankan.

“Ramai kalangan suri rumah berkenaan yang miskin, kini sudah senang hasil usaha gigih mereka, malah ada yang bergelar jutawan,” katanya.

AIM juga prihatin terhadap kebajikan pesertanya dengan menubuhkan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat, yang kini sudah mencecah RM140 juta.
Peserta akan mendapat manfaat daripada tabung berkenaan jika ditimpa malapetaka seperti banjir dan kebakaran.

Kajian dijalankan juga menunjukkan peningkatan pendapatan lebih ketara pada Sahabat wanita iaitu tambahan sebanyak RM136 sebulan berbanding Sahabat lelaki hanya RM65 saja sebulan. Kejayaan besar yang ditunjukkan oleh Sahabat memberi keyakinan kepada jawatankuasa pengasas untuk meneruskan pengembangan projek ke negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi.

“Kita mempunyai pasukan yang bergerak aktif turun padang di seluruh pelusuk tanah air untuk mengenal pasti suri rumah yang layak untuk mengikuti program ini. Proses temuramah dan tapisan yang ketat dilakukan kepada peserta untuk memastikan hanya golongan sasaran saja yang layak mengikut program ini.

“Tumpuan kita juga kalangan suri rumah di Kelantan dan Terengganu, selain Sabah dan Sarawak yang kadar miskin dan miskin tegar lebih ketara berbanding negeri lain,” katanya.

Mulai 2008, AIM turut memberi tumpuan mengenal pasti suri rumah di bandar yang miskin dan termiskin untuk mengikut program sama supaya wujud keseimbangan dalam projek berkenaan.

“Misi AIM untuk membantu suri rumah lebih berdikari, meningkatkan pendapatan dan keyakinan diri akan terus dilakukan. Pakej skim kami yang berasaskan pembiayaan modal, simpanan dan sekuriti itu ternyata mampu memberi manfaat yang banyak kepada suri rumah di negara ini,” katanya.

INFO
Amanah Ikhtiar Malaysia


AIM adalah Badan Amanah Persendirian yang berdaftar, ditadbir urus oleh Lembaga Pemegang Amanah, yang mana keahliannya terdiri daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPP) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, wakil dari Kerajaan Negeri Selangor dan juga mereka yang dilantik dalam kapasiti peribadi.


Skim Pembiayaan Ikhtiar:

Skim pembiayaan Ikhtiar (SPI) ialah program pembiayaan mikro yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan masyarakat miskin dan terpinggir terutama di luar bandar untuk meningkatkan pendapatan dan mengeluarkan diri daripada garis kemiskinan.

Objektif:

* Mengurangkan kemiskinan isi rumah dan termiskin dengan menyediakan pembiayaan kredit mikro untuk
membiayai kegiatan ekonomi menambah pendapatan
* Menyediakan kemudahan kewangan berterusan kepada usahawan Ikhtiar
* Menyediakan bimbingan dan latihan berterusan kepada isi rumah, miskin, termiskin dan usahawan Ikhtiar